Monday, February 18, 2008

Gereja di Malaysia berkempen untuk kebebasan beragama menjelang PRU ke-12


Alihbahasa sorotan oleh Wartawan Associated Press, Sean Yoong


Gereja-gereja di Malaysia sedang berhati-hati bergerak ke dalam arena politik dengan gesaan supaya masyarakat Kristian mengundi calon yang memperjuangkan kebebasan beragama pada pilihan raya akan datang.

Gesaan tersebut mencerminkan kegelisahan masyarakat agama minoriti di Malaysia yang merasakan hak asasi mereka sedang dihakis. Ramai daripada mereka menyalahkan birokrat Islam yang dianggap keterlaluan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Hujung minggu lalu pihak gereja mula menyebarkan risalah mendesak masyarakat Kristian mengkaji semula pendirian serta rekod parti-parti politik berhubung "kebebasan beragama, suarahati dan hak bersuara" sebelum membuang undi pada 8 Mac nanti.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia, Hermen Shahstri berkata, "kita mahukan setiap ahli politik mempunyai tanggung-jawab."

Katanya lagi, "Ramai di antara kita tidak akan mengundi calon yang tidak berani bersuara mempertahankan hak beragama."

Persekutuan Kristian Malaysia adalah gabungan Majlis Kristian Protestant Malaysia, Roman Katolik dan Fellowship Evangelis Kebangsaan.

Walaupun ada di antara gereja yang telah menyuarakan perkara ini di masa lalu, namun ramai daripada penganut Kristian memandang berat keputusan pilihanraya umum kelak berdasarkan apa yang mereka anggap sebagai "trend Islamisasi dan bagaimana ia memberi kesan kepada komuniti agama-agama lain," tambah Shahstri lagi.

Sambil menegaskan bahawa gereja-gereja masih berkecuali, beliau berkata kempen tersebut bukanlah berupa pengesahan daripada parti-parti pembangkang sekular yang menuduh kerajaan membiarkan diskriminasi agama berlaku lantaran menyebakan ketegangan dan ketidakharmonian di antara kaum di Malaysia.

Kira-kira 60 peratus daripada 27 juta rakyat Malaysia terdiri daripada kaum Melayu etnik beragama Islam. Yang lainnya terdiri daripada masyarakat Cina dan India yang beragama Kristian, Buddha dan Hindu.

Shastri berkata Persekutuan Kristian berkerjasama dengan persatuan agama Buddha dan Hindu untuk menyebarkan risalah-risalah yang sama di kuil-kuil.

Kaum minoriti di Malaysia berasa tidak senang berikutan beberapa perkembangan sejak kebelakangan ini, seperti langkah kerajaan mengharamkan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan Kristian berbahasa Melayu, pemusnahan kuil-kuil Hindu dan keputusan-keputusan mahkamah yang dianggap memihak kepada orang Islam dalam kes-kes membabitkan orang bukan Islam.

Ahad lalu Perdana Menteri Abdullah telah memberi jaminan kepada kumpulan-kumpulan minoriti bahawa beliau "jujur dan adil" dengan semua agama.

Dalam ucapannya kepada pengundi Cina Abdullah berkata, " memang benar terdapat beberapa salah-faham kecil, tetapi apa yang penting kita bersedia berbincang dan mencari penyelesaian bersama kepada segala masalah."

Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkata inistiatif pihak gereja "pasti akan dapat membantu dalam usaha mewujudkan sedikit sebanyak kesedaran politik," tetapi ia tidak akan mampu mempengaruhi untuk memenangi undian yang banyak bagi pembangkang.

Ramai di kalangan masyarakat Kristian, terutama mereka daripada kelas pertengahan menyokong Barisan Nasional pimpinan Abdullah kerana mereka tidak mahu menggugat keadaan semasa," tambah Kok.

Barisan Nasional di anggotai 14 parti yang mewakili pelbagai kumpulan etnik. Kerajaan campuran yang telah memerintah sejak 1957 ini dijangka akan mudah mempertahankan kedudukannya kali ini, tetapi dengan majoriti kerusi Parlimen yang lebih rendah berikutan ketegangan agama, isu inflasi, jenayah dan rasuah.

No comments: