Menjelang bulan depan segala mata dan telinga akan tertumpu kepada mesyuarat-mesyuarat UMNO cawangan yang dijadual bermula.
Ini adalah detik-detik yang amat menerujakan. Apa tidaknya dengan puluhan ribu cawangan UMNO dijangka menyuarakan suara hati seluruh ahli UMNO, terutama dalam keadaan begitu mencabar seperti sekarang ini..
Cawangan adalah denominasi paling kecil dalam hirarki UMNO dan dengan lebih 3.5 juta ahli, suara hati yang akan terpancar daripada mesyuarat cawangan tidak sepatutnya dipandang rendah.
Sehingga kini cawangan-cawangan UMNO tidak mempunyai suara terus untuk mempengaruhi pucuk pimpinan UMNO negeri atau pun UMNO pusat. Oleh sebab mereka tidak dapat mengemukakan pencalonan, cawangan boleh menyuarakan pilihan menerusi resolusi khas kepada UMNO bahagian yang akan mengadakan pemilihan tersendiri pada Oktober depan.
Berdasarkan hakikat realiti tersebut, kali ini para pemimpin parti, terutama mereka yang menganggotai Majlis Tertinggi akan lebih menumpukan perhatian kepada pemilihan di peringkat cawangan dengan memantau dan meneliti apa jua mesej yang ingin disampaikan kepada ketua-ketua parti.
Dan kali ini juga seluruh cawangan UMNO lebih menyedari kuasa di tangan mereka dan cara untuk didengar dan menyampaikan segala apa yang tersirat dan diinginkan.
No comments:
New comments are not allowed.