Friday, October 19, 2007

Menentukan Pendirian Kita Terhadap Barat

DALAM suasana merdeka ini, kita patut kembali melihat pendirian yang betul terhadap dunia yang pernah menjajah kita. Sikap yang adil amat sukar dibuat oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan beberapa faktor.

Kekuatan dan kemegahan Barat yang berjaya mempengaruhi minda manusia. Juga kemunduran atau kelemahan dunia Islam yang menjadikan seakan segala falsafah Islam yang hebat bagaikan dongengan yang tidak berpijak di alam nyata.

Saya selalu membuat perumpamaan, jikalau ada barangan tertentu yang satu dikeluarkan di Barat tanpa disenaraikan keistimewaannya, dan satu lagi dikeluarkan di dunia Islam dengan disenaraikan keistimewaannya, perasaan masyarakat umumnya merasai, barangan Barat tentu lebih hebat.

Ini kerana Barat secara umumnya telah berjaya membina jenama yang baik untuk blok mereka. Sementara dunia Islam sentiasa dipandang sinis dalam berbagai-bagai perkara.

Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan telah mundur dan hilang peranan. Hasil dari hilangnya identiti diri iaitu akidah yang murni yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun kita yang pernah dibina. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal.

Lihat sahaja apa yang wujud di Indonesia, Mesir dan Morocco dan seumpama mereka. Mereka bukan sahaja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen. Kepercayaan kepada tangkal-mangkal, bomoh, tahyul, khurafat wali-wali dan seumpamanya menguasai sebahagian masyarakat umat ini.

Walaupun mereka mendakwa diri mereka Muslim, namun benteng akidah telah pun mereka hancurkan.

Bahkan ada istiadat dan pegangan bangsa yang menyanggahi syarak menggantikan tempat agama. Wanita Islam di sesetengah masyarakat umpamanya, begitu ditindas di sudut hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa diizinkan sebarang bantahan dari empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba abdi suaminya yang seakan diberi kuasa oleh budaya setempat untuk benar-benar diperhambakan.

Wajah-wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini telah benar-benar menconteng keindahan Islam di mata dunia. Setelah menggambarkan keagungan generasi Islam yang lampau, 'Ali Tantawi berkata: "Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan- kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam menghina Islam." Sehingga Jamal al-Din al-Afghani, atau Muhammad Abduh menyebut perkataan yang hebat: "Islam itu terlindung oleh penganutnya." (Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat, m.s. 45, Jeddah: Dar al-Manarah).

Maka perkembangan kemajuan dan perubahan norma-norma tertentu yang berlaku di dunia Barat telah mempengaruhi dunia Islam. Barat yang sebelumnya ketinggalan jauh dibandingkan kemajuan yang pernah dicapai oleh umat Islam. Barat telah berjaya menguasai tamadun kebendaan dan cuba memunculkan diri mereka sebagai simbol kejayaan tamadun manusia moden.

Ini sebenarnya hasil kecuaian umat Islam terutama golongan agama dan pemerintah. Golongan agama yang tidak faham telah menjadikan agama begitu jumud menolak kemodenan dan hanya tertumpu kepada persoalan fardu ain. Sementara banyak pemerintah di dunia Islam hanya mementing diri dan meninggalkan tanggungjawab membangunkan umat.

Justeru itu semua pandangan kebanyakan bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam. Barat telah dianggap kononnya simbol kepada gaya hidup zaman moden, juga kononnya mereka adalah pejuang hak dan kebebasan manusia dalam era ini.

Dalam menghadapi cabaran ini, maka empat sikap utama telah muncul di tengah umat Islam yang telah ketinggalan ke belakang:

Pertama: Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti tokoh sasterawan Mesir, Taha Hussain. Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan.

Katanya dalam bukunya Mustaqbal al-Thaqafat fi Misr (Masa Depan Ilmu Dan Kebudayaaan Di Mesir): "Kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai."

Bahkan lebih dari itu beliau menyebut: "Ini semua menunjukkan kita pada zaman moden ini ingin berhubung dengan Barat dengan satu perhubungan yang bertambah kuat dari hari ke hari. Sehingga kita menjadi sebahagian daripada mereka secara lafaz dan makna, hakikat dan rupa."

Katanya juga: "Hendaklah kita menjadikan Barat merasai bahawa kita melihat setiap perkara sama seperti yang Barat mahu, kita menilai setiap perkara sama seperti yang Barat nilai dan kita menghukum setiap perkara sama seperti Barat menghukumnya." (Dinukil dari Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, Al-Sira' Bain al-Fikrah al-Islamiyyah wa al-Fikrah al-Gharbiyyah fi al-Aqtar al-Islamiyyah, m.s. 111, India: al-Majma' al-Islami al-'Alami)

Golongan yang kedua: Mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa yang mereka lakukan adalah cuba mentafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau al-sunah yang menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan cara hidup di Barat.

Bagi mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam prinsip Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut oleh al-Qaradawi: "Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan." (Al-Qaradawi, al-Marji'iyyat al-'Ulya fi al-Islam: li Al-Quran wa al-Sunnah, Beirut: Muassasat al-Risalah).

Umpamanya mereka menyerang kesopanan pakaian wanita Islam. Ini kerana ia bercanggah gaya hidup wanita Barat. Namun percayalah sekiranya wanita Barat memakai purdah, pasti mereka sungguh- sungguh mencari dalil menyokong amalan itu. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka kumpulkan dalil wajib bertudung kepala.

Oleh kerana mereka melihat wanita dunia Barat mendedahkan diri tidak seperti wanita Islam maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai dengan keadaan tersebut. Ini seperti kelompok liberalis yang subur di sesetengah negara Arab dan Indonesia. Mereka ini tidak menyatakan yang mereka ingin tinggalkan agama, tetapi mereka tafsirkan agama agar seiras dengan pandangan-pandangan umum yang diterima oleh masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam pengkajian nas (teks) hendaklah nas-nas yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan tafsiran nas.

Kata Dr. Salah al-Khalidi: "Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran yang luas dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang membawa bersamanya (dalam memasuki alam al-Quran) himpunan ilmu pengetahuan, kebudayaan, akhlak, adat istiadat dan sikap yang bertentangan dengan arahan al-Quran, maka cahaya al- Quran terhalang darinya.

"Ada pula yang memasuki alam al-Quran dengan suatu pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia melihat al-Quran maka terhalanglah pandangannya, lantas dia terjatuh dalam kekaburan dan kekeliruan.

"Ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latar belakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehnya maka dia menyelewengkan jalannya, memutarbelitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya." (Salah Abd. al-Fattah al-Khalidi, Mafatih li al-Ta'amul ma'a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar).

Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi dengan kehendak yang diputuskan. Mereka bukan ingin mengikut al-Quran, sebaliknya mereka mengambil tindakan terlebih dahulu dan kemudian mencari dalil dari al-Quran dan al-sunah lalu ditafsir agar selaras dengan tindakan yang telah mereka ambil.

Maka, al-Quran dan al-sunah tidak lagi mempunyai fungsi membimbing, sebaliknya hanya sebagai 'cop' untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Sementara kayu pengukur sebenar tindakan mereka, adalah pegangan umum di Barat yang mereka lihat diterima di Barat.

Golongan ketiga: Adalah golongan yang menolak apa sahaja daripada Barat. Bagi mereka semua yang berasal dari Barat adalah kufur atau sesat, atau sekurang-kurangnya bercanggah dengan Islam. Mereka tidak membezakan antara sikap, kebudayaan, nilai-nilai yang tidak menyanggahi Islam, dengan perkara-perkara yang menyanggahinya. Sehingga pernah golongan yang seperti ini menentang pakaian 'neck-tie', makan bersudu-garpu, bercakap 'orang putih' dan seumpamanya.

Alasannya semua itu berasal dari Barat. Bahkan di sesetengah pusat pengajian agama sehingga ke hari ini ada yang menganggap mata pelajaran Sains, Matematik, Geografi, dan seumpamanya sebagai pelajaran sekular dan keduniaan. Lalu mereka tidak mementingkannya, bahkan ada yang memandang jelik terhadapnya.

Sikap terlalu memusuhi Barat telah menyebabkan mereka lupa bahawa mata pelajaran tersebut berkhidmat untuk umat Islam, bahkan kebanyakan asasnya diletakkan oleh umat Islam pada zaman kegemilangan tamadun mereka. Islam adalah agama dunia dan akhirat.

Bahkan sikap mereka mengasingkan perkara-perkara tersebut dari agama itulah yang berbau sekular. Mereka juga lupa bahawa dada Islam itu luas untuk mengambil manfaat dari mana-mana sudut yang membawa kebaikan kepada manusia. Dengan syarat ia tidak boleh bertentangan dengan al-Quran dan al-sunah.

Golongan keempat: Menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan diakui. Bahkan kemajuan yang dinikmati di Barat adalah cedokan dari kemajuan yang pernah wujud di dunia Islam dahulu. Islam tidak pernah menyatakan ia memusuhi Barat atau Timur, Utara atau Selatan. Bukan semua yang ada di Barat mesti ditolak. Seperti bukan semua yang ada di Timur diterima. Entah berapa banyak sikap atau budaya Barat itu mendekati kehendak Islam seperti tekun, menepati waktu, kebersihan dan seumpamanya.

Demikian entah berapa banyak budaya setempat; seperti suka mengumpat, dengki-mendengki, malas berusaha dan sebagainya amat menyanggahi Islam. Timbangannya ialah tafsiran yang betul terhadap nas-nas al-Quran dan al-sunah.

Islam adalah agama yang hidup dan sesuai untuk segala masa dan zaman. Kemajuan yang dicapai oleh Barat patut diberi penghormatan juga penapisan secara adil. Hendaklah dibezakan bahawa dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap tidak boleh diubah. Di samping ada juga perkara-perkara tertentu yang terdedah kepada perubahan tempat dan zaman. Hal ini telah saya sentuh dalam tulisan-tulisan yang lepas.

Kefahaman yang seperti inilah pendirian golongan umat Islam yang lurus dengan agamanya. Pandangan dan pegangan di Barat tidak boleh ditolak mentah-mentah, seperti ia juga tidak boleh ditelan bulat-bulat.

Dengan penuh kesedaran kita selalu menyebut masih ada perkara-perkara yang berhajat kepada semakan yang membabitkan kefahaman dan amalan umat Islam. Pintu ijtihad itu terus terbuka sehingga hari kiamat. Tiada siapa pun berhak menutupnya.

Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji agama ini perasaan takutkan Allah dalam menghuraikan hukum syarak. Ijtihad itu berteraskan ilmu, bukan kejahilan dan nafsu. Banyak juga perkara baru yang ditimbulkan oleh kemajuan Barat perlu dinilai dengan perasaan yang adil dan saksama. Bahkan banyak nilai di Barat yang lebih mendekati Islam dibandingkan apa yang berlaku atau diamalkan di dunia Islam.

Prasangka dan kejumudan terhadap semua unsur Barat hanya memundurkan umat ini dan menjadikan kita beku dari mengambil manfaat daripada orang lain. Namun, sikap terlalu liberal tanpa prinsip hanya akan memusnah ajaran Islam yang hakiki.

Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


 

No comments: