Tuesday, October 2, 2007

IPTA baru dikuasai pro-aspirasi

Keputusan awal bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi pengajian tinggi awam hari ini menunjukkan kebanyakannya didominasi oleh calon-calon pro-aspirasi. Tindakan kumpulan pro-mahasiswa yang memboikot sistem pembuangan undi secara elektronik sejak dua tahun lalu menyaksikan persembahan hambar di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setelah enam calon mereka dibatalkan pencalonan, kumpulan ini hanya berjaya meraih enam daripada 48 kerusi yang dipertandingkan, manakala kerusi selebihnya dimenangi calon pro-aspirasi. Kempen habis-habisan yang berakhir semalam di kampus berkenaan menyaksikan kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh berkempen secara kotor.

Keadaan bagaimanapun lebih tenang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan, di mana calon pro-aspirasi memenangi kesemua 24 kerusi.

Jumlah keluar mengundi juga meningkat lagi 2.71% daripada 94% tahun lalu. "Ini bagus kerana pelajar-pelajar ini menyedari tangungjawab mereka dengan keluar mengundi," kata timbalan pendaftar kanan USIM, Muhammad Haizuan Rozali.

Calon-calon pro-aspirasi juga menyapu bersih kesemua kerusi MPP di Universiti Malaysia Pahang, Universiti Darul Iman Terengganu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Perlis.

Trend yang sama boleh dilihat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor, di mana calon pro-aspirasi meraih 19 daripada 20 kerusi.

Dari mStar

No comments: