Monday, July 23, 2007

Laporan Polis Terhadap Malaysia-Today


Menurut laporan awal daripada beberapa blogger termasuk Jeff OOi dan Rocky satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi hari ini tadi terhadap laman web alternatif Malaysia-Today yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin.

Countergrain sudah lama menghitung hari ekoran tindakan begitu ramai blogger dan pembaca laman berita alternatif Malaysia-Today mengeposkan komen-komen tanpa beralas. Yang saya maksudkan ialah komen berunsur hasutan dan kecaman terhadap beberapa isu sensitif, terutama yang ketara menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.

Ada di antara blogger yang sengaja menggunakan laman Malaysia-Today bagi meluahkan kata-kata lucah terhadap masyarakat Muslim dan agama Islam -- ini tidak patut disiarkan tanpa penapisan oleh pihak editorial.

Berikutan kegagalan Raja Petra menangani kepincangan itu, ramai di antara masyarakat Islam di negara ini berasa begitu terhina.

Tidak kurang ramai juga yang menasihatkan (termasuk countergrain sendiri)Raja Petra supaya segera menapis pos-pos sedemikian rupa tetapi beliau pada mulanya gagal berbuat demikian, hinggalah sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila beliau akhirnya memberi amaran kepada pembaca Malaysia-Today yang beliau akan mula menapis segala posting selain mengenakan syarat bagi menyertai laman tersebut.

Kita patut mengambil iktibar daripada keadaan ini. Tanpa menyebelahi mana-mana pihak saya rasa memang tepat masanya bagi laporan Polis dibuat.

Jika diperhatikan daripada satu sudut, Raja Petra yang begitu mendaulati kebebasan ekspresi dan bersuara, terutama di internet, telah dijadikan mangsa oleh anasir-anasir yang sengaja menggunakan laman Malaysia-Today sebagai saluran.

Dari penjuru lain pula kita perlu melihat senario ini dari aspek toleransi.Dalam konteks ini, toleransi yang maksudkan ialah sikap kesabaran beberapa pihak dalam kerajaan yang sengaja tidak mahu menambahkan minyak kepada api hasutan yang dinyalakan oleh anasir-anasir subversif di laman Malaysia-Today. Daripada ini kita dapat mentafsirkan samada kerajaan sengaja menindas suara pembangkang atau sebaliknya.

Bagaimanapun, apabila keadaan menjadi begitu serius apakah salah bagi sesuatu dilakukan untuk menanganinya demi kesejahteraan semua penduduk negara pelbagai kaum ini?

No comments:

Post a Comment