Berikutan penahanan Raja Petra Kamaruddin, RPK, selama dua tahun di bawah ISA, ramai blogger yang menyuarakan bantahan.
Ada yang jelas meluahkan hati secara picisan tanpa memikir sedalam-dalamnya rentetan peristiwa, perlakuan dan keengganan bertindak di pihak RPK sendiri sebelum ditahan.
Ada juga blogger yang mencelah mengatakan tindakan ke atas RPK sesuatu yang zalim dan tidak sepaptutnya berlaku di bulan Ramadan. Tidak boleh? Mengapa? Alasannya kerana ini bulan yang keramat dan mulia.
Memang betul ini bulan keramat, mulia dan penuh dengan segala keberkatan, tetapi apa pula jika manusia tidak mempedulikan hakikat ini dan terus melakukan pelbagai perbuatan yang berpotensi menggugat kestabilan masyarakat?
Ramadan bulan mulia yang sentiasa tiba tepat pada waktunya setiap tahun.
RPK menghadapi tindakan dipertengahan Ramadan, tetapi apa pula cerita dengan perlakuannya pada awal Ramadan?
Pada bulan Rejab, antara lain, RPK juga pernah menulis dan menyiarkan artikel dan 'pendedahan' yang mengundang pelbagai komen pembaca. Segala komen-komen itu jelas menyakitkan hati masyarakat Melayu selain cuba memalukan agama Islam.
Pada saya persoalannya bukan apa yang didakwa dilakukan oleh RPK, tetapi apa yang TIDAK dilakukan oleh RPK.
Malaysia-Today yang dikendalikan oleh RPK berupa satu portal online yang memapar dan mengupas dakwaan terhadap pelbagai pihak, termasuk kerajaan, orang Melayu dan agama Islam.
Paparan segala artikel dan analisis yang begitu berat sebelah hanya satu aspek ketidakmatangan dan kebiadaban pihak 'sidang pengarang'. Di penjuru lain pula yang lebih buruk ialah kerana RPK membiarkan para penyumbang memberi komen kepada artikel dan analisis yang tersiar tanpa penapisan.
Komen-komen yang dikemukakan hampir kesemuanya berunsur 'ganas' dan tidak berlapik hinggakan kebanyakannya begitu berani mempersendakan agama Islam dan sensitiviti orang Melayu.
Di sinilah letaknya kesalahan RPK. Apa yang tidak dilakukannya boleh diertikan sebagai satu 'omission' yang menyumbang terus kepada interpretasi ancaman kestabilan masyarakat dan seterusnya, negara.
Ini tidak boleh dinafikan kerana ia begitu ketara. Layarilah Malaysia-Today dan lihat segala komen yang tersiar. Jika sebahagian besar masyarakat Melayu di luar bandar mampu membaca dan memahami segala kandungan jijik mengenai agama Islam dan orang Melayu dalam laman itu, entahlah apa yang boleh berlaku...
Oleh itu, penahanan RPK tidak boleh dilihat dengan sebelah mata. Ia perlu dilihat dengan pemikiran terbuka dan bukan hati yang buta semata-mata.
RPK sememangnya tahu apa yang bakal diterimanya bersabit segala yang dilakukan atau yang TIDAK dilakukan.
No comments:
New comments are not allowed.