Wednesday, December 26, 2007

Rahsia kejayaan orang India menjadi pengedar akhbar


VADIVELU a/l Sithambaran, 78, sudah menjadi pengedar suratkhabar sejak tahun 60an. Dilahirkan di Ramanathapuram, selatan India, beliau datang ke Malaya ketika berusia 22 tahun untuk mencari kehidupan baru.

Bermula dengan bekerja di kedai kopi di Chemor, Perak, beliau kemudian bertukar angin ke Kuala Lumpur dan bekerja di kedai kain.

Vadivelu seterusnya membantu saudaranya menjual suratkhabar dan pekerjaan itu kemudian terus menjadi sumber rezekinya hingga ke hari ini. Meskipun keduadua anak perempuannya sudah dewasa dan usianya sendiri semakin lanjut, Vadivelu masih belum berfikir untuk berhenti kerja.

RUTIN HARIAN

Seorang pengamal yoga, Vadivelu masih tekun melakukan rutian hariannya yang telah dilakukannya selama kira-kira 40 tahun, bermula seawal pukul 3 pagi.

Selepas mandi dan menghirup secawan kopi, beliau tidak lupa untuk melakukan upacara sembahyangnya sebelum menghidupkan enjin motosikal dan terus ke lokasi kutipan akhbar, kirakira dua kilometer dari rumahnya di Subang Jaya.

"Anak sudah besar tapi saya masih kerja sebab ini kerja saya sangat suka. Saya duduk diam saya macam-macam sakit," Vadivellu memberitahu dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau sememangnya seorang yang aktif dan ini boleh dilihat daripada rekod memegang jawatan setiausaha Persatuan Pengedar Akhbar India Wilayah Persekutuan dan Selangor (FTSINVA) yang disandangnya selama 20 tahun. Tahun terakhir dia memegang jawatan itu ialah pada 1990.

PEKERJAAN BERISIKO TINGGI

Vadivelu boleh dikatakan mewakili kelompok masyarakat India yang istimewa ini, mereka yang menunjukkan ketabahan tinggi menerokai industri pengedaran akhbar yang lazimnya sejak sekian lama dikaitkan dengan kaumnya.

Kebanyakan daripada mereka memilih bidang ini lebih kepada faktor keperluan kerana tiada pelajaran tinggi tambahan peluang pekerjaan yang sukar diperolehi. Justeru mereka tekun membanting tulang bertahun-tahun lamanya meskipun pendapatan yang diperolehi adalah tidak seberapa.

Pekerjaan mereka juga boleh dikatakan berisiko tinggi memandangkan kebanyakannya terpaksa menunggang motosikal dengan bebanan akhbar yang berat, apa tah lagi apabila meredah jalan raya yang sesak.

"Meskipun hujan atau panas, akhbar perlu dihantar dan itu yang menjadi keutamaan kami. Kebanyakan pelanggan mahu mendapat akhbar sekitar pukul 6.00 atau 6.30 pagi sebelum mereka keluar ke tempat kerja," kata V. Arumugam,52, Presiden FTSINVA, jawatan yang disandang sejak 2002.

Buat masa ini Persatuan tersebut mempunyai 460 ahli berdaftar, di mana 70 peratus adalah orang India. Kebanyakan ahli persatuan berusia pertengahan 40an dan mempunyai pelajaran setakat sekolah menengah sahaja.

Arumugam yang juga gigih mengedar akhbar sejak 30 tahun lalu menafikan dakwaan bahawa industri tersebut dimonopoli orang India.

"Perniagaan ini terbuka untuk semua kaum. Memang ada yang cuba tetapi tidak semua yang mampu bertahan bekerja berjamjam seperti yang kami (orang India) buat," jelasnya.

DISIPLIN DAN PENGORBANAN

Perniagaan pengedaran akhbar sememangnya bukan seperti kerja waktu pejabat jam 95. Seperti yang diberitahu Vadivelu dan diulangi oleh Arumugam yang memberitahu ahli-ahlinya mula bekerja seawal pukul 3 pagi dan hanya berhenti lewat petang.

Selain daripada empat hari cuti  Hari Raya Puasa, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina, pengedar akhbar ini bekerja sepanjang tahun.

"Kami perlu mengekalkan disiplin kerja yang tinggi supaya dapat memberikan khidmat yang terbaik dan pekerjaan ini sememangnya amat mencabar.

"Pekerjaan yang kami lakukan ini juga memerlukan banyak pengorbanan. Saya ada kawan yang terpaksa menangguhkan urusan pengebumian semata-mata untuk menyudahkan kerja penghantaran akhbar dan ada juga yang terpaksa bekerja sehari selepas berkahwin. Ini adalah suka-duka kerja sebagai pengedar akhbar dan kami semua melalui pengalaman ini," kata setiausaha Persatuan, Shaikh Nainar Zainal Abidin,43, yang telah menjadi pengedar akhbar kirakira 15 tahun.

Penolong setiausaha Persatuan, S. Segran mencelah dan menceritakan kepada penulis bagaimana seorang pengedar akhbar enggan dimasukkan ke hospital sehingga dia selesai menjalankan kerjanya.

"Banyak kes di mana pengedar akhbar tak mahu dimasukkan ke hospital meskipun disahkan mengidapi penyakit. Ada juga yang sudah dimasukkan ke hospital kemudian keluar semula semata-mata mahu menyiapkan kerja menghantar akhbar.

"Satu lagi tanda komitmen kuat kami ialah bila hujan lebat, kami akan pastikan akhbar tak basah meskipun kami sendiri yang basah kuyup," katanya, sambil menambah mereka yang ingin berjaya dalam bidang penghantaran akhbar perlu mempunyai disiplin kerja yang tinggi dan ini ternyata mampu dilakukan oleh pengedar akhbar India.

"Anda juga tak boleh ambil cuti sesuka hati. Tak ada peluang untuk bercuti atau bersantai dengan keluarga. Jangan kan ke luar negara, nak ke Seremban pun tak dapat.

"Malah ada saudara-mara kita yang kata kita tamak, nak cari duit banyak sampai nak pergi kenduri kahwin pun tak boleh," sampuk seorang lagi pengedar akhbar, Theenathayalan a/l Sinnadurai, 55, yang menjadi pengedar akhbar sejak tahun 70an.

SEMAKIN PUPUS

Meskipun kumpulan ini boleh berbangga dengan kemampuan yang mereka tunjukkan dalam industri pengedaran akhbar, industri ini mungkin akan pupus lama kelamaan sekiranya apa yang dikatakan oleh pengedarpengedar akhbar ini menjadi kenyataan.
Theenathayalan sendiri berkata anakanaknya saban hari mendesak supaya dia berhenti kerja.

"Tiga daripada empat orang anak saya belajar di luar negara. Mereka sudah memberitahu saya apabila mereka kembali dalam masa beberapa tahun ini, mereka mahu saya berhenti kerja. Mereka tahu bagaimana teruknya saya bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa," katanya, dengan menambah kebanyakan anakanak pengedar akhbar yang lain turut berpendirian sedemikian.

Generasi muda India di negara ini dikatakan tidak berminat melakukan kerja mengedar akhbar. Hanya lima peratus daripada pengedar yang ada mempunyai anak yang mengikut jejak langkah mereka.

Kurangnya minat ini turut dipamerkan oleh pekerja-pekerja India yang dibawa masuk beberapa tahun lalu untuk membantu pengedarpengedar akhbar ini.

Secara puratanya, seorang pengedar runcit akhbar memperolehi antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, bergantung kepada jumlah akhbar yang diedarkan.

"Tak akan timbul soal menggantikan kerja jika industri ini memberi pendapatan yang lumayan. Saya sendiri melakukan kerja ini kerana saya tidak mempunyai banyak pilihan.

Generasi muda hari ini kebanyakannya mempunyai pelajaran tinggi dan pastinya pekerjaan yang kami lakukan ini tidak menarik minat mereka," kata Segran yang menambah anak-anaknya sendiri tidak mahu menjadi pengedar akhbar.

Menurut beliau, komisen 20 peratus yang diterima oleh pengedar akhbar masih berada di takuk lama sejak 60an meskipun harga kebanyakan akhbar sudah meningkat.

MAHU LEBIH BANYAK FAEDAH

Memandangkan bentuk kerja yang berisiko tinggi, Persatuan ini telah mengemukakan permintaan kepada Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) untuk mendapatkan beberapa faedah bagi kepentingan pengedar akhbar dan keluarga mereka.

"Kami bekerja bertahuntahun lamanya dan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kritikal. Kami mahu perlindungan daripada penyakit-penyakit tersebut bukan sahaja pampasan apabila mati kemalangan. Apa yang kami mahukan ialah program perlindungan keluarga yang menyeluruh," kata Presiden FTSINVA, Arumugam.

Menurut beliau, bayaran insurans RM20,000 yang dibuat sekarang untuk kematian dalam kemalangan semasa menghantar akhbar tidak memadai memandangkan kebanyakan pengedar akhbar merupakan satusatunya pencari nafkah dalam keluarga.

Arumugam menjelaskan, Persatuan tersebut juga mengambil inisiatif sendiri untuk membantu ahli-ahlinya dengan memberikan sumbangan RM5,000 kepada keluarga pengedar akhbar sekiranya pengedar tersebut meninggal dunia.

Di samping persatuan yang semakin tersusun strukturnya dengan pelancaran laman web www.mynewsvendor.com (untuk meningkatkan hubungan pengedarpembeli) serta kad keahlian untuk ahliahlinya, Persatuan ini juga merancang melantik perunding untuk "mencari jalan terbaik bagaimana pengedar akhbar dapat menjual khidmat mereka untuk menaikkan taraf hidup mereka."

"Komisen yang kami terima sekarang tidak setimpal dengan pengorbanan yang kami curahkan. Itu sebabnya mengapa kami mahu melantik perunding yang akan mengkaji semula bentuk kerja kami dan mencari cara terbaik bagaimana kami boleh melindungi diri kami," sampuk Segran. 

Dipetik dari BERNAMA

No comments: